Sejarah Pendidikan Awal kanak-kanak

12:16

Sejarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak bermula pada era 1950-an. Pada pendidikan awal kanak-kanak telah didorong oleh sistem pendidikan British dan ianya hanya dimonopoli oleh golongan yang berkemampuan sahaja kerana pendidikan jenis ini memerlukan kos yang tinggi untuk membiayainya. Dari tahun 1950 hingga 1960, tadika di Malaysia telah dibuka oleh sosialis kristian sebagai sebahagian aktiviti gereja. Hampir kesemua tadika dipunyai oleh individu atau agensi persendirian yang bertapak di kawasan bandar dan menyediakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak hanya untuk ibubapa yang mampu membayar yuran. Kesannya, hanya sebahagian kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun berpeluang mengikuti kelas tadika. Malangnya, ramai kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang miskin dan luar bandar tidak dapat menerima pendidikan awal di tadika. Sekitar tahun 1960-an pula, Pendidikan Awal Kanak-Kanak mula berkembang secara umum berikutan kesedaran untuk mendapatkan pendidikan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan selepas merdeka mula meningkat. Satu revolusi telah berlaku pada tahun 1969, Yayasan Asia telah menyumbangkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada Worker Society of Malaysia untuk membangunkan institusi model TADIKA yang mana ia hampir sama dengan projek di Amerika Syarikat. Sasaran utama projek ini adalah dikalangan kanak-kanak daripada keluarga miskin daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India. Mereka dipilih daripada Kampung Muniandy, Kampung Manggis dan Kampung Sentosa di Selangor. Satu kajian telah diambil di Amerika Syarikat menunjukkan kanak-kanak yang terlibat dalam projek ini telah mencapai prestasi yang baik dari segi akademik dan tingkah laku jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak terlibat dalam projek ini (Bernard Van Lee 2009). Pada tahun 1970, melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berfokuskan kepada program "Pembasmian Buta Huruf", Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan serta Perumahan Sabah telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) untuk penjagaan dan pendidikan bagi kanak-kanak di antara umur empat hingga enam tahun. Pada tahun 1972 pula, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membina akta yang khusus bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dinamakan Akta Pelajaran 1961 P.U (A), Kaedah-kaedah Pelajaran (Kindergarten/ Sekolah Asuhan)(Pendaftaran). Berdasarkan laporan daripada kajian Keciciran 1973 (Ee Ah Meng 1988) terdapat kesan yang positif di kalangan kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di peringkat prasekolah. Sebanyak 90 % daripada kanak-kanak yang mendapat pendidikan di peringkat ini diletakkan di dalam kelas pertama apabila mereka memasuki sekolah rendah (Ee Ah Meng 1998). Pendidikan awal kanak-kanak semakin berkembang pesat dengan kewujudan Yayasan Bernard Van Leer. Yayasan ini telah banyak membiayai aktiviti pendidikan Prasekolah terutamanya dalam menggubal program pukal Prasekolah, menganjurkan seminar-seminar dan menerbitkan buku panduan pendidikan yang khas untuk pendidikan awal kanak-kanak (Bernard van Leer Foundation, 2009). Perkembangan pesat tersebut menuntut bilangan tenaga pengajar yang lebih banyak dalam pendidikan awal kanak-kanak. Oleh itu, sekitar tahun 1972 sehingga 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) mula menawarkan kursus untuk melatih para guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Usaha MPIK ini mendapatkan sambutan dan diteruskan melalui projek-projek rintis Prasekolah oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Maktab Perguruan Sri Pinang (MPSP), Maktab Perguruan Mohd Khalid (MPMK) dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) yang dibiayai oleh UNICEF (Bernard Van Leer Foundation 2009). Pendidikan awal kanak-kanak mula mendapat perhatian yang lebih serius pada tahun 1984. Terdapat beberapa pihak mula mencadangkan dan menuntut bahawa pendidikan awal kanak-kanak harus bermula lebih awal, iaitu di bawah empat tahun. Hal yang demikian ini menyebabkan tertubuhnya Children Centre Act atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memenuhi tuntutan tersebut. Pada tahun 1986 pula, Buku Panduan Guru Prasekolah mula diterbitkan. Buku ini diterbitkan bagi tujuan meningkatkan kemahiran dan kreativiti guru prasekolah. Ia juga dapat membantu guru mengelola dan mengurus pengajaran dan pembelajaran prasekolah dengan lebih sistematik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar di pusat-pusat pengajian pendidikan. Seterusnya, pada tahun 1993, Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia mula diperkenalkan dan digunapakai untuk sekolah rintis di KPM. Kini, Garis Panduan Pendidikan Prasekolah Malaysia diganti dengan Kurikulum PERMATA (0-4 tahun) dan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (4-6 tahun) dan dijadikan rujukan utama bagi Pendidikan awal kanak-kanak.


You Might Also Like

0 Leave a comment

Total Pageviews

Featured post

Lr Preset Sunset

Lr Preset Sunset - Rm 2.00 Payment method: Whatsapp Resit ke 0128673013   Shipping Method: DNG File by Email. Ma...

Translate